DR MAHATHIR.
Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@nstp.com.my


MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH), hari ini, bersetuju dua Pilihan Raya Kecil (PRK) bakal diadakan, ditandingi oleh calon daripada parti sama yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Dua PRK itu ialah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Negeri Sembilan dan Parlimen Cameron Highlands, Pahang.

Pengerusi PH yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, parti berkenaan juga akan diberi kebebasan memilih calon masing-masing, sebelum ia dibincang dan diputuskan di peringkat Majlis Presiden.

“Kita bersetuju calon bagi dua PRK itu ialah daripada parti yang dahulu meletakkan calon di situ (pada PRU-14).

“Bagaimanapun, individu belum ditentukan lagi. Itu kita serah kepada parti berkenaan untuk menentukan siapakah calon mereka, kemudian kita pertimbangkan.

“Logo yang akan digunakan pada kedua-dua PRK itu adalah logo PH, bukan logo PKR. Jangan kata kita tak adil pula, kita lebih adil sekarang ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Petaling Jaya, hari ini.

Pada PRU-14, wakil PH yang bertanding di kerusi DUN Rantau adalah calon PKR, Dr S Streram, manakala kerusi Parlimen Cameron Highlands diwakili parti DAP, M Manogaran.

Kerusi DUN Rantau dimenangi tanpa bertanding oleh penyandangnya yang juga Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, selepas Streram tidak dibenarkan memasuki pusat penamaan calon disebabkan tidak mempunyai pas SPR.

Bagaimanapun, pada 16 November lalu, Mahkamah Tinggi Seremban memutuskan kemenangan Mohamad pada PRU-14 adalah batal dan tidak sah, susulan Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei lalu.

Kerusi Parlimen Cameron Highlands pula dimenangi calon BN, Datuk C Sivarraajh dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan empat calon lain pada PRU-14.

Bagaimanapun, Mahkamah Pilihan Raya pada 30 November lalu mengisytiharkan bahawa keputusan pilihan raya kerusi Parlimen Cameron Highlands itu terbatal dan tidak sah, selepas mendapati terbukti wujud amalan rasuah yang diketahui dan mendapat keizinan Sivarraajh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 3:34 PM