Pulau Kukup, Pontian. FOTO Nurul Amanina Suhaini
Zanariah Abd Mutalib


JEMAAH Menteri berpandangan status Pulau Kukup sebagai Taman Negara Johor perlu dikekalkan bagi memastikan kawasan itu terus kekal sebagai pulau paya bakau tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia dan satu-satunya di perairan Johor.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat Jemaah Menteri, semalam, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Khamis lalu meluluskan usul tergempar untuk Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Johor mengambil maklum dan mengkaji semula status Taman Negara Pulau Kukup.

"Pertukaran status kawasan itu sudah tentu boleh memberi kesan kepada pengiktirafannya sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa yang diterima serta menjejaskan reputasi negara dalam memulihara biodiversiti.

"Rakyat juga secara umumnya menyokong supaya status itu dikekalkan supaya ekosistem Pulau Kukup terus terpelihara sebagai kawasan berkepentingan antarabangsa demi faedah generasi masa kini dan masa depan.

"Sebarang kegagalan dalam menguruskan kawasan ini secara berhemah boleh menyebabkan kehilangan khazanah biodiversiti yang tidak ternilai, selain menjejaskan usaha mengiktiraf Mersing sebagai Geopark Kebangsaan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Xavier berkata, Pulau Kukup yang terletak dalam daerah Pontian dengan keluasan 647 hektar mempunyai ekosistem pulau bakau yang jarang ditemui dan diancam kepupusan serta menjadi khazanah biodiversiti yang tidak ternilai kepada negara dan Johor khususnya.

Katanya, terdapat kira-kira 18 spesies bakau asli di Hutan Paya Bakau Pulau Kukup dan jika dibandingkan dengan kawasan bakau lain di Semenanjung, kekayaan spesies bakau asli di kawasan itu adalah tinggi, dengan mengambil contoh Hutan Paya Laut Matang, Perak seluas 40,000 hektar tetapi hanya terdapat 21 spesies bakau asli.

"Pulau Kukup juga dikenal pasti sebagai kawasan persinggahan burung migrasi, tempat pembiakan dan perlindungan hidupan liar terancam seperti Burung Botak, Bangau Cina dan Pacat Bakau serta sumber perikanan dan akuakultur negara," katanya.

Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian, berkata kerajaan negeri akan menyatakan pendirian berhubung kedudukan Pulau Kukup sebagai Taman Negara pada sesi penggulungan DUN, esok.

Khamis lalu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibrahim dalam twitter rasminya memaklumkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, berkenan supaya kedudukan Pulau Kukup dikekalkan sebagai Taman Negara Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 3:43 PM