Asmah Rusman

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meninjau lokasi perhimpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskrisminasi Kaum (ICERD) selepas perhimpunan berkenaan berakhir, hari ini.

Video tinjauan berdurasi seminit itu dimuat naik blogger, Firdaus Abdullah di Twitter miliknya dan sehingga 8.45 malam tadi sudah ditonton lebih 25,000 pengguna.

Video itu turut disukai 1,036 pengguna dan mendapat 744 retweet.

Menerusi perkongsian itu, Firdaus berkata, Mahathir memandu di pusat bandaraya untuk melihat sendiri keadaan di ibu kota selepas perhimpunan berkenaan berakhir.

Berdasarkan rakaman video itu, Mahathir dilihat memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 selain kedengaran bunyi siren eskot beliau.

Menerusi video itu, Mahathir dilihat melakukan tinjauan di lokasi segi tiga emas iaitu sekitar Jalan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail dan pusat beli belah Pavilion.

Tindakan Mahathir turut mendapat pelbagai reaksi pelayar Twitter antaranya Tan Hock Chai yang meninggalkan komen ucapan tahniah.

"Pemimpin yang rajin dan tegas. Terbaik Tun M," katanya.

Sementara itu, beberapa pelayar turut berkongsi video Mahathir memandu kereta Proton SUV berkenaan yang bewarna merah.

Polis Kuala Lumpur mengesahkan seramai 55,000 orang menyertai perhimpunan membantah ICERD yang berkumpul sekitar ibu negara sejak awal pagi tadi.

Pada 23 November lalu, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak akan meratifikasi ICERD dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan yang di dalamnya termaktub kontrak sosial dipersetujui wakil semua kaum ketika pembentukan negara ini.

  • Lagi berita berkaitan Perhimpunan ICERD
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 9:46 PM
    PETIKAN rakaman video yang dimuat naik di Twitter Firdaus Abdullah.