PESERTA menuju ke Datarn Merdeka ketika menyertai perhimpunan penolakan ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) di Jalan Tunku Abdul Rahman. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Syalikha Sazili

PERCANGGAHAN jumlah peserta daripada pelbagai pihak yang menganggarkan kehadiran peserta pada perhimpunan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bukan kayu pengukur bagi kejayaan sesebuah perhimpunan.

Pakar Geostrategis, Azmi Hassan, berkata, isu ICERD adalah manifestasi kerjasama UMNO dan PAS. Oleh kerana itu isu jumlah peserta yang hadir cukup sensitif.

"Isu jumlah yang hadir selalu berlaku percanggahan kerana tiada kaedah yang mampu menentukan jumlah kehadiran secara tepat memandangkan kawasan perhimpunan luas.

"Tetapi lazimnya percanggahan perbezaan campur tolak antara 10 hingga 30 peratus masih boleh diterima.

"Namun sekiranya percanggahan terlalu ketara kerana ada yang mengatakan contohnya jumlah hadir 20,000 orang dan ada pihak pula kata 2 juta maka percanggahan ini terlalu besar untuk diambil ambil purata," katanya ketika dihubungi NSTP, di Kuala Lumpur, hari ini.

Azmi juga berkata, sekiranya penganjur perhimpunan berpuas hati terhadap jumlah kehadiran, ia sudah memadai.

"Dari gambar sukar untuk tentukan jumlah, kerana gambar perhimpunan boleh memberi seribu makna interpretasi," katanya.

Sebelum ini,Polis Kuala Lumpur menganggarkan seramai 55,000 peserta hadir ke perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ICERD manakala pihak penganjur pula menganggarkan 300,000 peserta.

  • Lagi berita berkaitan Perhimpunan ICERD
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Disember 2018 @ 10:28 PM