MOHD Syafiq maut dalam kemalangan di Kilometer 49.5 Jalan Sungai Petani-Baling dekat Kampung Charok Bemban. FOTO ihsan pembaca
Safuri Kamarudin

“ARWAH baru sahaja melangsungkan perkahwinannya Julai lalu dan kali terakhir berjumpanya Ogos lalu ketika dia datang ke rumah. Namun petang tadi saya terkejut apabila menerima berita anak saudara meninggal dunia."

Begitu kata Tamizi Nadzir, 45, dari Kampung Lanai, dekat Baling, selepas anak saudaranya, Konstabel Mohd Syafiq Hanafie Anuar, 28, maut dalam kemalangan di Kilometer 49.5 Jalan Sungai Petani- Baling berdekatan Kampung Charok Bemban, hari ini.

Dalam kejadian 4.15 petang itu, mangsa menunggang motosikal dari Kupang ke Baling sebelum terbabit kemalangan dengan lori.

Tamizi berkata, arwah berasal dari FELDA Mengkuang, Triang Pahang bercuti, hari ini dan kali terakhir berjumpanya Ogos lalu.

"Dia seorang yang baik dan mesra dengan semua sanak saudara namun tidak menyangka dia pergi lebih awal.

"Kami reda ketentuan ilahi dan berdoa arwah ditempatkan bersama orang yang beriman," katanya ketika dihubungi malam ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shariffuddin Yusuf, berkata, mangsa bertugas di Balai Polis Kupang.

"Siasatan awal, mangsa dalam perjalanan dari Kupang ke Baling sebelum terbabit kemalangan dengan lori dari arah yang sama.

"Sebaik tiba di tempat kejadian lori dari arah Kupang ke Baling berhenti di bahu jalan dan membuat pusingan U menyebabkan motosikal mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar pintu hadapan kanan lori berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Shariffuddin berkata, mangsa yang parah kemudian dihantar ke Hospital Baling.

"Mangsa bagaimanapun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Zon Merah pada 5.40 petang.

"Jenazah kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu sehingga menyebabkan kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 12:01 AM