AMAN (kiri) menyoal siasat keluarga berkenaan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Muhamaad Razis Ismail


“KALAU tegur pak cik takut kena katok (pukul) dengan anak,” kata seorang lelaki berusia 43 tahun yang ditahan bersama isteri, anak dan menantu selepas positif dadah dalam Ops Kijang Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan.

Empat sekeluarga ini terdiri daripada isterinya, 40, anak lelaki, 20, dan menantu lelaki ,29, ditahan di rumah mereka di Kampung Telong, Bachok, semalam.

Mereka adalah antara 57 orang yang ditahan dalam operasi yang dijalankan AADK di sekitar Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Bachok selama dua hari bermula Jumaat lalu.

Lelaki berusia 43 tahun itu berkata, dia mula mengambil pil kuda sejak 10 tahun lalu, manakala anak sulung terjebak dengan penyalahgunaan dadah sejak berusia 18 tahun.

Katanya, dia turut mengetahui isteri dan menantu mengambil dadah sama ketika berada di rumah.

“Bekalan dadah dibeli dengan harga RM10 sebiji daripada rakan.

“Saya ambil dadah ini sebab nak tambah tenaga kerana bekerja menanam sayur.

“Isteri, anak dan menantu turut ambil dadah namun saya tidak berani larang kerana bimbang dicederakan,” katanya ketika ditemui di Pejabat AADK Kelantan di Kota Bharu, semalam.

Sementara itu, Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK Kelantan Aman Mustafa berkata, dalam operasi itu seramai 71 orang disaring air kencing dan 57 ditahan kerana positif dadah.

“Kita merampas 163 pil kuda, 45 liter air ketum dan 40 bungkus daun ketum.

“AADK turut menemui senapang angin milik salah seorang suspek berusia 54 tahun di Tumpat dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Semua tangkapan direman di lokap AADK,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 9:09 AM