Pasangan Mohamad Syahmi dan Nur Diana semasa majlis perkahwinan mereka sebulan lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Shahrinnahar Latib


SUAMI isteri yang maut dalam kemalangan di Rompin awal pagi tadi, sempat mengecapi nikmat perkahwinan genap sebulan sebelum terbabit dalam nahas yang turut mengorbankan dua sepupu mereka.

Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi di Kilometer (KM) 131.20 Jalan Kuantan-Johor Bahru berdekatan Kuala Rompin menyebabkan pasangan suami isteri yang juga akauntan, Mohamad Syahmi Emir Mohd Rawi, 24, dan Nur Diana Afifah Hasnulhady, 24, serta adik beradik, Yasmin Afiqah Hazemi, 14, dan adiknya, Yasmin Aliah, 12, meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurut bapa Mohamad Syahmi Emir, Mohd Rawi Manab, 50, pasangan berkenaan bernikah pada malam 8 November lalu dan kebetulan kejadian kemalangan maut itu berlaku ketika genap sebulan mereka diijabkabulkan.

“Mereka berdua sebenarnya baharu lepas menghantar barang keperluan kepada adik bongsunya berusia 20 tahun di Politeknik Muadzam Shah sebelum singgah di Teluk Chempedak di Kuantan untuk bersiar-siar.

“Bagaimanapun ketika mereka mahu pulang semula ke Johor Bahru, kereta Perodua Viva yang dipandu anak saya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres. Sepatutnya saya yang perlu hantar barang berkenan, namun disebabkan ada kerja, dia yang terpaksa gantikan saya.

“Masa kejadian anak bongsu saya turut mengikuti abangnya untuk balik ke Johor Baharu tetapi menaiki kereta lain, ” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Rompin di sini hari ini.

Mohd Rawi berkata, ketika kejadian anak bongsunya ada mendengar bunyi dentuman yang kuat sebelum melihat ke cermin dan nampak kereta abangnya dilanggar oleh sebuah bas.

“Arwah yang juga anak sulung daripada tiga beradik seorang yang manja dan selalu makan bersuap walaupun sudah besar. Kami amat sedih sebab arwah baharu berkahwin dan barang perkahwinannya masih belum dikemas.

“Kami sekeluarga amat merasai kehilangannya, dia adalah harapan keluarga. Sebelum kejadian dia juga tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Sementara itu, kakak kepada Nur Diana Afifah iaitu Nur Nadira Aifa berkata, adiknya berpesan supaya memadamkan laman sosial Facebook jika apa-apa berlaku kepada dirinya.

“Namun, kami sekeluarga tidak mensyaki apa-apa tetapi saya tidak sangka kejadian seperti ini berlaku kepadanya. Kami sekeluarga reda dengan kejadian ini,” katanya.

Katanya lagi, adiknya yang juga anak ketiga daripada enam beradik itu sudah berkenalan dengan suaminya sejak 2017 sebelum melangsungkan perkahwinan sebulan lalu.

Sementara itu, ibu kepada dua kanak-kanak yang juga sepupu kepada Mohamad Syahmi Emir enggan ditemubual kerana terlalu sedih dengan kehilangan kedua-dua anaknya itu.

Semua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Seri Pantai, Mersing dalam satu liang lahad petang tadi.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Azly Mohd Noor, berkata, pemandu bas berkenaan, Mohd Salleh bin Ghazali, 37, dan 30 penumpang tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan awal mendapati, kereta yang dipandu Mohamad Syahmi Emir dipercayai dalam perjalanan balik dari Teluk Chempedak di Kuantan untuk menghantar sepupu mereka ke Mersing, Johor sebelum balik ke Johor Bahru.

“Bagaimanapun sampai di tempat kejadian, kereta berkenaan dipercayai bertembung dengan bas ekspres berkenaan yang menuju ke arah Kuantan,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Ajal empat bersaudara [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 6:03 PM