Asmah Rusman


UCAPAN pemimpin pembangkang dalam Himpunan Penolakan Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) semalam dianggap sebagai sentimen bahaya yang memainkan politik perkauman, dakwa Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Lim yang berucap pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Selangor 2018 di Petaling Jaya hari ini berkata, tindakan pemimpin pembangkang itu dilihat sengaja mencari isu untuk memastikan kelangsungan politik mereka.

“Itu sesuatu yang tidak sihat sama sekali seperti mereka lupa Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad tu bukan Melayu ke? Bukan Islam? Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail bukan orang Melayu? Bukan Islam? Ini bahaya sentimen seperti ini.

“Saya dapat makluman bukan sahaja dari bukan Melayu dan bukan Islam tapi daripada orang Melayu sendiri tentang perkara ini (sentimen perkauman) kita kena hadapi. Tidak ada sebarang isu mereka buat isu, ICERD tidak diratifikasi tetapi mereka buat isu ini,” katanya.

Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan menggunakan sentimen perkauman bagi melawan tindakan pembangkang sebaliknya akan memastikan keadaan ekonomi rakyat sentiasa diperbaiki.

“Kita tidak mahu lawan emosi dengan emosi, sentimen dengan sentimen, tetapi kita harus lawan emosi dan sentimen ini dengan angka dan fakta.

“Sekiranya kerajaan PH boleh pulihkan keadaan ekonomi dan berikan satu harapan kepada rakyat bahawa kehidupan mereka boleh jadi lebih baik daripada Barisan Nasional (BN), saya percaya saya yakin, saya pasti kita boleh kalahkan sentimen politik perkauman yang bahaya ini oleh pembangkang,” katanya.

Lim yang juga Menteri Kewangan berkata, fokus PH kini adalah memperbaiki ekonomi rakyat tanpa mengira kaum dan agama.

“Itu tanggungjawab kita, bukan mudah. Ini usaha yang kita kena jalankan bersungguh-sungguh untuk perbaiki keadaan ekonomi rakyat khususnya orang Melayu, orang Bumiputera dan orang Bumiputera yang miskin.

“Sekiranya kita boleh berjaya, rakyat tetap akan sokong kerajaan yang boleh ubah kehidupan mereka lebih baik kepada rakyat, boleh buat pencapaian yang lebih baik kepada rakyat.

“PH sudah buktikan inilah senjata paling berkesan untuk lawan pembangkang, perbaiki keadaan dan ekonomi rakyat. Kita lihat di Selangor dan Pulau Pinang kerana kita baiki kedudukan ekonomi rakyat,” katanya.

Semalam, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya dalam perhimpunan itu memberi amaran bahawa masyarakat Melayu Islam akan bangkit sekiranya hak dan agama mereka di negara ini diusik.

Himpunan itu berakhir dengan aman dan tamat sejam lebih awal berikutan keadaan cuaca tidak mengizinkan.

Polis Kuala Lumpur menganggarkan lebih 55,000 peserta menyertai himpunan berkenaan namun pihak penganjur memberitahu kehadiran lebih daripada 300,000 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 8:56 PM