GAMBAR kerbau yang dipatahkan kaki dan dikelar tular di laman sosial.
Ahmad Rabiul Zulkifli
cnews@nstp.com.my

Kuala Terengganu: Persatuan Penternak Negeri Terengganu (PPNT) menyangkal dakwaan gambar kerbau patah dua kaki dan cedera teruk pada badan yang tular di media sosial sejak Jumaat lalu berlaku di negeri ini.

Pengerusinya Abdul Hamid Mohd Salleh berkata, pihaknya tidak menerima laporan daripada penternak berkaitan kes berkenaan.

“Berpandukan pada gambar itu, memang tidak wajar binatang diperlakukan seperti itu dengan apa alasan sekalipun.

“Orang yang bertanggungjawab menyeksa dan mencederakan ternakan itu perlu dibawa ke muka pengadilan supaya menjadi pengajaran kepada masyarakat.

“Pihak berkuasa perlu menyiasat dan PPNT sedia memberi kerjasama jika kes itu terbukti berlaku di negeri ini,” katanya di sini, semalam.

Abdul Hamid berkata, tindakan mencederakan kerbau tidak patut dilakukan dan dikategorikan sebagai zalim.

“Masih banyak cara dan jalan penyelesaian yang boleh diambil untuk memberi pengajaran kepada penternak tidak bertanggungjawab.

“Jangan kerana marahkan penternak yang melepaskan ternakan berkeliaran, ternakan tidak berakal itu diseksa.

“Menjadi lumrah ternakan yang dilepaskan tertarik dengan makanan iaitu rumput di halaman rumah, justeru cukup sekadar menghalau ia keluar tanpa menyeksanya,” katanya.

Beliau berkata, masalah haiwan ternakan berkeliaran boleh diselesaikan bersama secara baik dan penternak perlu bertanggungjawab dengan tidak membiarkan ternakan mereka berkeliaran sehingga mengganggu orang ramai.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kes itu.

“Perbuatan itu menyalahi peraturan di bawah Akta Kebajikan Haiwan dan pemilik ternakan serta pelaku kedua-duanya boleh didakwa kerana kesalahan berkenaan.

“Pemilik didakwa kerana tidak menyediakan tempat sesuai yang berada dalam pemantauan atau kawalannya.

“Pelaku pula boleh didakwa melakukan kezaliman kepada haiwan dan mereka boleh dihadapkan ke mahkamah yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Sejak Jumaat lalu, gambar seekor kerbau tular didakwa sengaja dicederakan kerana menyelinap masuk ke halaman rumah.

Kerbau berkenaan patah dua kaki selain kesan kelar pada badan, sekali gus mendapat kecaman daripada netizen yang menyifatkannya sebagai perbuatan tidak berperikemanusiaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 11:00 AM