KEADAAN kenderaan terbabit dalam kemalangan berkenaan. FOTO Ihsan Polis
Adnan Ibrahim


LELAKI maut, manakala tiga lagi parah selepas kereta merempuh dua motosikal di kilometer 82 Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam, dekat Kluang, tengah malam tadi.

Pada kejadian 12 tengah malam itu, mangsa maut, penunggang motosikal, Mohammad Afiq Jamain, 23.

Rakannya yang membonceng motosikal terbabit, Mohd Rafiqi Borhan, 21, dilaporkan parah.

Turut parah, seorang lagi penunggang motosikal yang juga rakan mereka, Mohamad Fazrulazmi Saadon, 22, dan pemandu kereta terbabit.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, ketika kejadian, sebuah kereta tiba-tiba memasuki laluan bertentangan.

“Ia kemudian merempuh dua motosikal berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, mangsa parah dirawat di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.

“Mangsa maut sudah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Simpang Renggam,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Abduh berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian.

Sehubungan itu pihaknya meminta orang awam yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 12:12 PM