Shahrinnahar Latib


DUA lagi mangsa kemalangan di Kilometer 16 Jalan Lipis-Benta berhampiran Simpang Taman Jelai, Lipis, petang semalam, meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital, hari ini.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan mangsa yang maut dalam nahas berkenaan seramai enam orang.

Ketua Polis Daerah Lipis Superintenden Azry Akmar Ayob berkata, dua mangsa yang meninggal dunia ialah Zalimawati Mukhtar, 34, dan anaknya, Zulaikha Basyirah Ahmad Ridwan, 10.

“Zalimawati meninggal meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, manakala anaknya pula ketika menerima dirawat di Hospital Kuala Lipis,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Azry Akmar berkata, kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat parah di kepala.

Semalam, mangsa yang meninggal dunia dalam kemalangan maut kira-kira jam 3.50 petang itu ialah pemandu Proton Waja, Mukhtar Hassan, 52, dan isterinya, Khatijah Hussin, 61, serta cucunya, Ahmad Fakhrul Muslim Ahmad Ridhwan, 2, yang semuanya berasal dari Taman Kelaboran Jaya, Tumpat, Kelantan.

Turut meninggal dunia ialah pemandu Perodua Myvi yang juga anggota tentera, Muhamad Samsol Kamal Mat Arifin, 22, yang bertugas di Kem Kementah, Kuala Lumpur.

Berita berkaitan

Empat maut, dua kereta bertembung

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 5:19 PM