MAYAT lelaki warga Nepal yang terjatuh dari bumbung sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Merlimau, Jasin, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
MAYAT lelaki warga Nepal yang terjatuh dari bumbung sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Merlimau, Jasin, hari ini. FOTO Ihsan PDRM
Nur Saliawati Salberi


PENGAWAL keselamatan warga Nepal maut selepas dipercayai terjatuh dari bumbung di kilang tempatnya bekerja di Kawasan Perindustrian Merlimau, Jasin, hari ini.

Penemuan mayat mangsa dimaklumkan kepada pihak polis kira-kira jam 7.50 pagi oleh pengawal keselamatan warga tempatan.

Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa dikenali sebagai Kangliwa Limbu, 30.

Menurutnya, ketika kejadian dimaklumkan, mangsa bertugas sejak jam 7 malam semalam dan sepatutnya tamat tugas pada jam 7 pagi hari ini.

Katanya, kejadian berlaku di tempat pemunggahan besi mentah.

“Dia (mangsa) dipercayai terjatuh berdasarkan kesan pecah di bahagian bumbung dengan ketinggian dianggarkan kira-kira 10 meter.

“Mayatnya ditemui dalam keadaan tertiarap di atas permukaan simen selain terdapat kesan luka berdarah di bahagian dahi dan kepala,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Arshad berkata, siasatan lanjut turut menemui satu pemotong besi kecil, tukul besi dan besi panjang berhampiran mayatnya.

“Siasatan awal dilakukan mendapati, mangsa dipercayai menaiki bahagian bumbung bagi mengambil ‘plate copper’. Setakat ini siasatan mendapati tiada unsur jenayah,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin untuk bedah siasat, dan buat masa ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 5:52 PM