KAKITANGAN Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu memeriksa lembu baka Charolais yang mati secara misteri di Kampung Sekati, Manir, hari ini. Foto AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


SEORANG penternak lembu di Kampung Sekati, Manir berputih mata selepas lembu baka Charolais miliknya berusia tujuh tahun yang dibeli tiga bulan lalu pada harga RM5,000 mati secara misteri, hari ini.

Lembu dianggarkan seberat 300 kilogram yang dibeli di Bachok, Kelantan itu ditemui mati di kandangnya kira-kira jam 7 pagi.

Pemiliknya, Razali Mat Ghani, 28, berkata dia masih menunggu keputusan ujian darah yang diambil Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu bagi mengenal pasti punca kematian lembu jantan kesayangannya itu.

“Hanya Allah yang tahu perasaan saya sekarang. Bukan senang untuk saya beli lembu baka Charolais itu kerana harganya yang agak mahal sedangkan saya hanya bekerja sebagai penjinak kerbau liar.

“Saya beli lembu baka itu dengan harga RM5,000 ketika ia berusia empat bulan dengan harapan dapat membelanya sehingga ke usia satu tahun sebelum menyertai pertandingan lembu sado.

“Namun, tenyata rezeki tidak menyebelahi apabila lembu itu ditemui mati secara misteri, hari ini. Memang remuk perasaan saya mengenangkan lembu kesayangan itu, jika ikutkan harga pasaran lembu itu sekarang mencecah RM7,000 seekor,” katanya.

Razali atau lebih mesra dipanggil Pak Lie berkata, dia sempat membelai lembu kesayangannya sehari sebelum haiwan itu ditemui mati dan sehingga kini masih tertanya-tanya punca kematian lembu berkenaan.

“Memang pelik kerana lembu itu tidak menunjukkan sebarang petanda diserang penyakit sebaliknya masih segar dan berselera makan ketika kali terakhir saya menguruskannya.

“Kegiatan penternakan lembu dan kerbau sudah sebati dengan diri saya seawal usia belasan tahun. Justeru saya sedia maklum sekiranya lembu atau ternakan diserang penyakit, malah sempat diubati, tetapi kes ini agak berbeza.

“Hanya penyakit Heamoragic Septicaemia (HS) atau hawar berdarah yang menyebabkan lembu atau kerbau mati secara mengejut seperti itu, tetapi sekarang tiada rekod kes terbabit yang berlaku di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, dia juga tidak mengesyaki lembu itu mati akibat perbuatan khianat kerana tiada tanda ia diracun atau dianiaya.

“Hanya keputusan ujian darah yang dijalankan JPV boleh mengesahkan punca kematiannya, dan sekiranya ia mati kerana penyakit HS, semua penternak perlu berjaga-jaga dan memberikan vaksin pada ternakan mereka kerana bimbang mengalami nasib sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 6:25 PM