ANGGOTA polis mengiringi tertuduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.
Nur Saliawati Salberi


PADAH melakukan pecah rumah dan mencuri televisyen di sebuah inap desa, seorang remaja lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Tertuduh Muhammad Firman Mohamed, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Firdaus Salleh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didakwa melakukan pecah rumah dan mencuri enam buah televisyen jenama LG serta Panasonic bersaiz 24 dan 42 inci dengan anggaran bernilai RM10,000 milik seorang lelaki warga emas berusia 72 tahun.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah inap desa di Bachang, kira-kira jam 4 petang pada 27 Mei lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dikenakan kepada tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM7,000 terhadap tertuduh, selain menetapkan 21 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 7:57 PM