Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my


SURUHANJAYA Siasatan Diraja (RCI) wajar ditubuhkan bagi menyiasat kedudukan dan kewangan Tabung Haji (TH), tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, laporan siasatan dan audit syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC) yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf di Parlimen hari ini, mengundang kerisauan semua pihak.

Oleh itu, katanya, satu siasatan secara mendalam, terperinci dan benar mesti dilakukan dengan segera serta tegas.

Menurutnya, penubuhan RCI perlu bagi membolehkan membolehkan kerajaan mengetahui lebih jelas mengenai isu terbabit dan mencari jalan terbaik mengukuhkan kembali institusi penting berkenaan.

“Kita mesti melihat isu ini dalam konteks yang besar. Ia bukan sahaja berkaitan soal pemberian hibah yang tidak mengikut prosedur dan peruntukan TH, tetapi yang lebih mendasar ialah ia menggambarkan kewujudan krisis tadbir urus korporat dan pengurusan yang tidak mengikut amalan terbaik.

“TH adalah institusi milik orang Melayu dan Islam. Masyarakat awam secara umum berhak mengetahui kedudukan sebenar institusi itu dan kebenaran hanya akan terbit daripada siasatan yang telus, tidak berpihak dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohamad lagi, cara terbaik membela kepentingan Melayu dan Islam adalah dengan memastikan institusi berkenaan diuruskan dengan sebaiknya dan tidak dibiarkan susut nilai serta dipergunakan.

Katanya, TH yang mempunyai nama besar dan reputasi yang baik sehingga di peringkat dunia harus dipertahankan dengan apa cara sekali pun.

“UMNO sangat serius dalam apa jua usaha memelihara kewibawaan institusi yang berkaitan dengan orang Melayu dan agama Islam. Sebarang usaha untuk memperkuat institusi itu dan menghapuskan ketirisan, pecah amanah serta salah tadbir urus mesti disokong oleh semua pihak.

Portal berita hari ini melaporkan, pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 8:38 PM