Maszlee di Dewan Rakyat hari ini.
BERNAMA

RANG Undang-Undang (RUU) Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 2018 yang bertujuan memansuhkan peruntukan yang menghalang pelajar universiti terlibat dalam aktiviti parti politik dalam kampus dibentang untuk bacaan kali kedua pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang membentangkan rang undang-undang itu berkata, AUKU telah dipinda sebanyak enam kali dengan pindaan terkini pada 2012 membabitkan antaranya Seksyen 15 AUKU yang membenarkan pelajar terbabit dengan kegiatan politik di luar kampus.

“Dalam merealisasikan pemansuhan AUKU itu, kementerian telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Pemansuhan atau Pindaan AUKU.

“Jawatankuasa ini diberikan mandat untuk menyelaras, mengkaji dan menyemak peruntukan berkaitan yang terdapat dalam AUKU secara menyeluruh dan kemudiannya mengemukakan cadangan kepada kementerian yang turut dianggotai oleh pakar undang-undang, ahli akademik dan bukan akademik dari universiti awam dan swasta serta pelajar dan alumni.

“Kementerian juga telah menyediakan satu garis masa tempoh pelaksanaan pemansuhan atau pindaan AUKU dan dijangka dibentangkan di Parlimen pada 2020. Satu kajian menyeluruh bagi melihat kesemua akta yang berkaitan dengan pendidikan tinggi dan sistem tadbir urus pendidikan tinggi yang bersesuaian akan dilakukan,” katanya.

Maszlee berkata kementerian juga telah mengadakan beberapa sesi mencari maklumat bersama pemegang taruh untuk melihat persepsi berhubung pemansuhan atau pindaan AUKU.

“Antara isu utama yang dibangkitkan berkaitan AUKU ialah berkaitan kebebasan pelajar berpolitik di dalam kampus serta pengendalian kes tatatertib, kebebasan akademik dalam melaksanakan penyelidikan dan aktiviti pembelajaran, kekangan ahli akademik dalam menyatakan pendapat dan bersuara selain berkaitan hal tadbir urus universiti terutamanya dalam pelantikan pengurusan tertinggi universiti.

“Hasil sesi mencari maklumat turut menggesa kementerian percepatkan pindaan berkaitan pelajar terutamanya dalam memansuhkan Seksyen 15(2)(c) AUKU berhubung halangan untuk pelajar universiti terbabit dalam aktiviti parti politik di dalam kampus yang bertujuan memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada pelajar dalam bersuara dan berpolitik di dalam kampus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 9:24 PM