FOTO hiasan Arkib NSTP
Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my


HUKUMAN denda lebih tinggi dan penjara lebih lama menanti peniaga, penjual atau perokok tegar rokok seludup di negara ini selepas pindaan Akta Kastam 1967 dibentang di Parlimen, hari ini.

Mengikut pindaan baharu yang dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng, Seksyen 135 (1) (i) memperuntukkan hukuman lebih berat iaitu bagi kesalahan pertama, penalti denda tidak kurang daripada 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM50,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar dan tidak lebih 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM500,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan kedua atau berulang, penalti denda tidak kurang 20 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000 mengikut mana-mana amaun lebih besar dan tidak lebih 40 kali ganda amaun duti kastam atau RM1 juta mengikut mana-mana amaun lebih besar atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya.

Pindaan Akta Kastam itu dilakukan bagi memerangi kegiatan penyeludupan rokok seludup dan minuman keras yang ‘menghilangkan’ hasil negara sehingga RM4 bilion setahun berbanding duti cukai terhadap rokok yang berjaya dikesan hanyalah RM992 juta pada tahun lalu.

Pada pembentangan itu, Guan Eng turut mengumumkan pembentukan pasukan khas antara Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membanteras kegiatan haram berkenaan.

Sebelum ini, akta sama hanya memperuntukkan hukuman denda maksimum 20 kali nilai barang atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Hukuman rendah itu nyata tidak menggerunkan sindiket penyeludupan rokok seludup yang semakin berleluasa sehingga menguasai 63 peratus penjualan rokok di seluruh negara.

Berdasarkan kajian dilakukan, daripada 100 batang rokok, 63 rokok di pasaran adalah rokok seludup.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 9:26 PM