DATUK Samsuni Mohd Nor. FOTO Ihsan Facebook KKMM
Siti Salmiah A Hamid
salmiah@nstp.com.my


KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengumumkan pelantikan baharu Ahli Lembaga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Pelantikan yang dibuat pada 22 November lalu bertujuan melaksanakan pembaharuan dan penstrukturan semula sesuai dengan hala tuju KKMM.

Menterinya Gobind Singh Deo berkata, muka baharu itu terdiri dalam kalangan individu berpengalaman luas dan berpengetahuan dalam bidang perfileman, karyawan, perakaunan dan perundangan.

Beliau berkata, Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) KKMM, Datuk Samsuni Mohd Nor dilantik selaku Pengerusi FINAS dibantu penasihat undang-undang, Affendy Ali Dally sebagai Timbalan Pengerusi.

“Ahli lembaga yang turut dilantik termasuk Rashid Karim, Hasnul Hadi Samsudin, Onn Norshal Hamzah, Mohan Rao, Salwah Shukor dan Andrew Tai.

“Ketua Setiausaha KKMM, Datuk Dr Mohd Ali Mohamad Nor dan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Siti Juraini Jalaludin dilantik sebagai wakil kementerian.

“Turut dilantik adalah Shakib Ahmad Shakir selaku pemangku Ketua Pengarah FINAS dan Fairul Azida Shahabudin sebagai pemangku Timbalan Ketua Pengarah,” katanya, hari ini.

Menurut Gobind, lembaga turut melantik ahli-ahli yang berpengalaman dalam industri sebagai panel penasihat antaranya Ku Mohamad Haris Ku Sulong, Bront Palarae, Mohamed Harun Abdul Rahman, Wee Meng Hee dan Adrian Teh.

Katanya, semua pelantikan itu selaras dengan peruntukan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia 1981.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 9:42 PM