KEADAAN bas persiaran yang terbabit dalam kemalangan di Kampung Kelawat, Jalan Kota Kota Kinabalu - Kota Belud, Kota Belud, hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Recqueal Raimi
cnews@nstp.com.my


SERAMAI 18 pelancong Korea dan seorang pemandu cedera selepas bas persiaran dinaiki terbabas lalu terbalik di laluan berbukit di Kampung Kelawat, Jalan Kota Kota Kinabalu - Kota Belud, Kota Belud, hari ini.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, bas terbabit dalam perjalanan dari sebuah resort di Sepanggar ke Kota Belud terbabas ketika menuruni bukit.

Akibatnya, cermin hadapan kenderaan pecah, namun tiada mangsa yang dilaporkan tercampak atau mengalami kecederaan serius, setakat ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Rozlan Osman berkata, seramai 20 anggota termasuk bantuan dari BBP Tuaran bersama empat jentera dihantar ke lokasi sebaik menerima panggilan kecemasan pada 5.39 petang.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati semua mangsa berjaya keluar daripada kenderaan, dan semuanya mengalami cedera ringan sebelum diberi rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Sejurus kemudian, semuanya dihantar menggunakan ambulan EMRS ke Hospital Kota Belud untuk pemeriksaan lanjut,” katanya.

Mangsa membabitkan enam wanita dewasa dan lima lelaki dewasa termasuk pemandu, manakala bakinya masing-masing enam kanak-kanak perempuan dan dua lelaki.

Difahamkan, akibat kemalangan itu, laluan menuju ke Kota Belud mengalami kesesakan lalu lintas sepanjang kira-kira dua kilometer sehingga sebuah kren tiba untuk mengalihkan bas terbabit kira-kira sejam kemudian.

Katanya, punca kejadian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 9:59 PM