Mayat lelaki dipercayai mangsa bunuh, ditemui di Pengkalan Nelayan, Kampung Sungai Sireh Tambahan 2. FOTO Ihsan Pembaca
Faliq Lajim
cnews@nstp.com.my


MAYAT dipercayai mangsa bunuh ditemui di Pengkalan Nelayan Kampung Sungai Sireh Tambahan 2, di Pelabuhan Klang, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 petang, mayat yang belum dikenal pasti itu ditemui dalam keadaan berbalut dengan selimut tebal dan diikat.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, mayat berkenaan ditemui seorang lelaki sebelum memaklumkan kejadian itu kepada polis.

“Anggotanya yang berkejar ke lokasi sejurus menerima maklumat mendapati mayat itu dalam keadaan berbalut dengan selimut tebal.

“Unit Forensik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor yang dipanggil ke lokasi kejadian mendapati mayat itu dipercayai sudah berada dalam air dalam tempoh lebih seminggu sebelum ditemui,” katanya

Beliau berkata, sehingga kini keadaan mayat masih berbalut dan akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk proses bedah siasat pagi Rabu.

“Motif kejadian dan punca kematian belum dapat dipastikan dan akan diketahui selepas proses bedah siasat pagi Rabu nanti,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis memohon orang awam yang kehilangan atau tidak dapat menghubungi mana-mana ahli keluarga mereka untuk tampil ke balai polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Disember 2018 @ 11:31 PM