Anwar bermesra dengan sebahagian mahasiswa selepas Majlis Dialog Mahasiswa di UPM Serdang. FOTO Luqman Hakim Zubir
Nur Lela Zulkipli
Nurlela@nstp.com.my


“SABARLAH. Dia bagi tiga bulan, saya baru menang PRK (Pilihan Raya Kecil),” kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan tempoh sebelum mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tempoh tiga bulan itu berkuatkuasa selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Port Dickson pada 15 Oktober lalu.

Anwar yang baru saja memenangi PRK Parlimen Port Dickson pada 13 Oktober lalu dan berharap diberi masa untuk mengisytiharkan harta.

“Saya baru masuk bulan sudah. Beri la masa sekejap,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program dialog bersama pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), di Serdang, hari ini.

Dialog berkenaan dihadiri lebih 4,000 pelajar UPM bagi membincangkan isu semasa berkaitan pendidikan dan sekali gus menjadi wadah pertukaran pendapat bersama pemimpin tertinggi PKR berkenaan.

Semalam, Anwar adalah antara 13 Ahli Parlimen yang belum mengisytiharkan harta kepada SPRM.

Selain Anwar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (Kapar), P Prabakaran (Batu), Datuk Seri Dr Santhara (Segamat), Awang Husaini Sahari (Putatan), Ali Biju (Saratok) dan Dr Michael Teo Yu Keng (Miri).

Tiga anggota parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang belum mengisytiharkan harta selain Ahmad Faisal (Tambun) ialah Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Bagi Parti Warisan Sabah, selain Mohd Shafie, seorang lagi yang belum mengisytiharkan harta ialah Datuk Rozman Isli (Labuan).

Di samping itu, Presiden UPKO Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang juga anggota Parlimen Tuaran juga belum mengisytiharkan harta.

Semakan mendapati beberapa anggota parlimen hanya mengisytiharkan jumlah pendapatan bulanan tetapi tidak mengisytiharkan jumlah aset.

Mereka termasuk Menteri pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi (Silam), Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P.Waytha Moorthy dan Datuk Liew Vui Keong (Batu Sapi), serta R. Sanisvara Nethaji Rayer (Jelutong), Wong Tack (Bentong), dan Mordi Bimol (Mas Gading).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 12:24 AM