Jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan selamat dikebumikan dalam satu liang lahad. (Gambar kecil) Ahli keluarga memangku salah seorang jenazah kanak-kanak yang terkorban. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris
cnews@nstp.com.my

JENAZAH lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 16 Jalan Lipis-Benta berhampiran Simpang Taman Jelai, Lipis, petang semalam selamat dikebumikan.

Lima jenazah itu dikebumikan dalam satu liang di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kelaboran di Tumpat pada jam 10 malam semalam.

Hujan renyai mengiringi upacara pengebumian yang dihadiri lebih 500 penduduk kampung.

Terdahulu jenazah Zalimawati Mukhtar, 34, tiba di perkarangan tanah perkuburan pada jam 8.30 malam dengan van jenazah dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Setengah jam selepas itu empat lagi jenazah ahli keluarganya tiba dengan tiga van jenazah yang bertolak dari Hospital Kuala Lipis.

Semua jenazah disolatkan di Surau Kubur Kampung Kelaboran.

Dalam tragedi pada jam 3.50 petang semalam, enam mangsa maut selepas dua kenderaan bertembung.

Mangsa yang maut adalah Mukhtar Hassan, 62, dan isterinya, Khadijah Hussin, 61, anaknya, Zalimawati serta dua cucunya, Zulaikha Basyirah Ahmad Ridwan, 10 dan Ahmad Fakhrul Muslim Ahmad Ridhwan, 2, yang semuanya berasal dari Taman Kelaboran Jaya, Tumpat, Kelantan.

Turut meninggal dunia ialah pemandu Perodua Myvi yang juga anggota tentera, Muhamad Samsol Kamal Mat Arifin, 22, yang bertugas di Kem Kementah, Kuala Lumpur.

Berita berkaitan

Foto terakhir bersama Kak Nik...

[UPDATE] Dua lagi mangsa meninggal dunia

Empat maut, dua kereta bertembung

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 12:41 AM