LAPORAN portal berita Harian Metro, malam tadi mengenai polis sudah mengesahkan menerima dua laporan mengenai Tabung Haji.
LAPORAN portal berita Harian Metro, malam tadi mengenai polis sudah mengesahkan menerima dua laporan mengenai Tabung Haji.
Mohd Zulkifli Zainuddin


PENDEDAHAN mengenai Tabung Haji (TH) mengalami defisit sebanyak RM4.1 bilion bukan untuk menimbulkan panik, sebaliknya mahu beri keyakinan yang kerajaan tidak menyembunyikan apa-apa perkara.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, masyarakat perlu yakin bahawa kerajaan serius dan telus bertindak menyelamatkan keadaan TH daripada menjadi lebih buruk.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, berkata tindakan menyembunyikan perkara sebenar daripada pelabur boleh merosakkan negara.

“Ini kerana, apabila kita memberi maklumat sebenar kepada pelabur secara tidak langsung sebenarnya memberi keyakinan bahawa kita telus, bukan sembunyikan sesuatu.

“Jadi saya harap semua orang tidak panik kerana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang membuat siasatan terhadap beberapa individu dan ia membuktikan tindakan serius sedang diambil.

“Ini soal memberi penegasan bahawa apa yang berlaku dalam TH... jadi selepas ini mereka akan faham apa tindakan kerajaan. Ini semua adalah operasi untuk menyelamatkan TH dan ia tidak akan menjejaskan pendeposit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Kebangsaan Pulau Gajah, Kota Bharu, semalam.

Mahfuz turut menerima 717 borang keahlian baharu dari kawasan itu.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Mujahid Yusof Rawa, pada sidang media di lobi Parlimen semalam, berkata pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995 sehingga menyebabkan agensi itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Sementara itu, ditanya mengenai perhimpunan kesyukuran meraikan kejayaan menolak ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Mahfuz berkata, ia disifatkan seperti buang masa.

Beliau berkata, ia kerana kerajaan sudah membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Berbeza dengan perhimpunan BERSIH, kita ada hala tuju supaya pilihan raya diadakan secara bersih kerana kita tidak yakin dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ketika itu.

“Namun himpunan terhadap perkara yang tidak dibuat kerajaan adalah sesuatu yang tiada agenda, merugikan masa dan duit. Kalau bersyukur hanya perlu sujud syukur, bukannya membuat perhimpunan,” katanya.

Berita berkaitan

Kos haji kekal RM9,980

TH defisit RM4.1 bilion

Isu TH: Mujahid dedah Isnin ini

Simpanan Tabung Haji dijamin selamat

Demi Allah, tak guna wang penyimpan - Abdul Azeez [METROTV]

Polis sahkan terima laporan TH

Laporan polis terhadap Azeez, Ismee, Johan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 9:06 AM
Digital NSTP Subscribe