Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


LELAKI warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di Melaka, hari ini, atas pertuduhan mencabul kehormatan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, Mac lalu.

Tertuduh Wahit Ramli, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa yang ketika itu berumur enam tahun 10 bulan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh di luar sebuah rumah di Sungai Rambai, Melaka, antara jam 10 hingga 11 pagi, pada 4 Mac lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Mahkamah memutuskan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan menetapkan 11 Januari depan untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 12:17 PM