BANGUNAN Tabung Haji di Kuala Lumpur. FOTO Arkib NSTP
BANGUNAN Tabung Haji di Kuala Lumpur. FOTO Arkib NSTP
Mohd Iskandar Ibrahim dan Siti Nur Mas Erah Amran


PEMBERIAN hibah kepada pendeposit Tabung Haji sejak 2014 tidak melanggar Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf, hanya dibuat berpandukan laporan kewangan audit syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC).

Abdul Azeez berkata, kenyataan berkenaan tidak mengambil kira laporan Ernst & Young (EY) dari 2015 sehingga 2017.

Beliau mendakwa, Mujahid tidak mengambil kira laporan EY dalam menilai pasaran semasa (realis) aset keseluruhan membabitkan anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat usahasama dan hartanah.

“Bagi 2015, nilai realis aset adalah RM64.7 bilion berbanding liabiliti termasuk bayaran hibah berjumlah RM63.3 bilion, ada lebihan aset sebanyak RM1.4 bilion.

“Nilai aset realis pada 2016 adalah RM69.1 bilion manakala agregat liabiliti selepas mengambil kira hibah tahun sama adalah RM68.4 bilion, maka ada lebihan aset ke atas liabiliti sebanyak RM701 juta.

“Bagi 2017, nilai aset realis adalah RM74.7 bilion berbanding agregat liabiliti termasuk bayaran hibah tahun sama berjumlah RM74.4 bilion.

“Justeru, ada lebihan aset berbanding liabiliti sebanyak RM373 juta,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Mujahid mengenai pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 yang dilaporkan bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Keadaan itu didakwa menyebabkan agensi berkenaan mengalami defisit RM4.1 bilion.

Abdul Azeez berkata, laporan PwC yang diedarkan kepada Ahli Parlimen semalam membuktikan aset TH melebihi liabiliti dari 2015 sehingga 2017.

Selain EY, beliau berkata, laporan dan kedudukan kewangan TH turut disemak oleh Jabatan Audit Negara yang kemudian memperakukannya melalui sijil bersih setiap tahun kepada agensi itu.

“Apa yang dibuat oleh TH dahulu adalah tidak salah kerana penilaian itu disahkan oleh EY yang sangat profesional dan beretika.

“Saya hairan mengapa menteri pengurusan TH yang baharu masih ghairah mencari kesalahan pengurusan terdahulu sehingga sanggup melemparkan tohmahan dan memainkan sentimen liar,” katanya.

Justeru, Abdul Azeez sedia memberi kerjasama kepada pengurusan TH dan pihak berkenaan, termasuk bagi tujuan siasatan jika diperlukan bagi menjaga kesucian dan nama baik agensi itu.

Berita berkaitan

Isu TH: Pendedahan bukan untuk timbulkan panik - Mahfuz

Kos haji kekal RM9,980

TH defisit RM4.1 bilion

Isu TH: Mujahid dedah Isnin ini

Simpanan Tabung Haji dijamin selamat

Demi Allah, tak guna wang penyimpan - Abdul Azeez [METROTV]

Polis sahkan terima laporan TH

Laporan polis terhadap Azeez, Ismee, Johan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 2:30 PM
Digital NSTP Subscribe