FOTO hiasan
Zatul Iffah Zolkiply


MOTOSIKAL Honda EX5 dan Yamaha 125Z dikenal pasti menjadi sasaran pencuri di Terengganu, sekali gus menjadi penyumbang utama indeks jenayah di negeri ini.

Ketua Polis Negeri Datuk Aidi Ismail berkata, dua model motosikal itu menjadi sasaran pencuri kerana nilainya tinggi, selain komponen terutama Honda EX5 mudah dijual.

Katanya, komponen Honda EX5 mempunyai permintaan tinggi sebagai alat ganti, manakala Yamaha 125Z itu antara motosikal kegemaran mat rempit untuk dibawa berlumba.

“Kita tidak nafikan ada pengurangan berbanding tahun lalu, tetapi 60 peratus daripada indeks jenayah di Terengganu adalah membabitkan kes curi motosikal.

“Sebab itu, kita fokus untuk mengatasi masalah ini melalui operasi dan kempen kesedaran dalam mendidik masyarakat supaya lebih sedar mengenai kepentingan menggunakan kunci tambahan.

“Kegagalan pemilik motosikal menggunakan kunci pendua atau kunci tambahan antara faktor yang dikenal pasti menjadi peningkatan kes kecurian motosikal di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah (KPD) Kuala Terengganu di Dewan Integriti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di Kuala Terengganu, hari ini.

Selain fokus menangani kecurian motosikal di Terengganu, Aidi berkata, pihaknya turut memberi tumpuan dalam menangani jenayah dan gejala sosial termasuk kes dadah dan gejala rempit yang berlaku bagi memastikan Terengganu kekal aman.

“Selain memastikan indeks jenayah menurun dan mengekalkan prestasi kontinjen Terengganu, kita akan memberi fokus kepada kes dadah dan gejala rempit.

“Jika diikutkan, gejala rempit semakin terkawal tetapi kita akan membanterasnya seiring dengan matlamat kerajaan negeri mahu mencapai sifar rempit selain mengekang kegiatan pengedaran dadah di negeri ini,” katanya.

Pada majlis itu, Timbalan KPD Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman akan memangku tugas KPD bagi menggantikan Asisten Komisioner Idris Abd Rafar yang bersara wajib selepas 41 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

AIDI (tengah) menyaksikan serah tugas antara Idris dan Suffian, hari ini. Foto IMRAN MAKHZAN.

Terdahulu, Aidi dalam ucapannya berterima kasih dengan komitmen diberikan Idris selama bersama PDRM terutama ketika berada di daerah Kuala Terengganu.

Beliau berharap kepimpinan baharu dapat melaksanakan tanggungjawab diberikan dengan sebaik mungkin bagi mengekalkan keamanan dan prestasi kontinjen Terengganu dan IPD Kuala Terengganu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 5:55 PM