Mohd Shukri menujukkan laman sesawang SPRM di telefon pintar ketika menaiki komuter selepas melancarkannya di Majlis Pelancaran Balutan Tren Mesej Antirasuah Kerjasama KTMB dengan SPRM. Koc itu dibalut dengan slogan baharu SPRM iaitu 'Rasuah Dihina, Maruah Dibina' dan didalam tren turut dilengkapi dengan paparan mesej berpelekat mengenai kesedaran bahaya rasuah dan keperluan melaporkan jenayah rasuah. FOTO Ramdzan Masiam
Siti Sofia Md Nasir


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih meneliti maklumat berhubung isu pemberian hibah kepada pendeposit Tabung Haji (TH) sejak 2014, yang didakwa bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, berkata pihaknya perlu meneliti maklumat terbabit, sama ada ia berasas serta tertakluk mengikut kesalahan Akta SPRM.

“Untuk laporan semalam, setakat ini kita masih meneliti maklumat untuk pastikan ada asas atau tidak.

“Kita tidak boleh terus buka kertas siasatan.

“Kalau ada kesalahan lain, kita akan salurkan pada pihak lain. Kita hanya tumpu pada Akta SPRM,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Tren Balutan Bermesej di Bukit Mertajam, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusuf semalam, mengenai pemberian hibah kepada pendeposit TH sejak 2014 yang dikatakan bercanggah dengan Akta Lembaga Tabung Haji 1995.

Keadaan itu didakwa menyebabkan agensi berkenaan mengalami defisit RM4.1 bilion.

Bagaimanapun bekas Pengerusi Lembaga TH, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata, kenyataan Mujahid itu hanya dibuat berpandukan laporan kewangan audit syarikat juruaudit bebas, PricewaterhouseCoopers (PwC).

Abdul Azeez berkata, kenyataan berkenaan tidak mengambil kira laporan Ernst & Young (EY) dari 2015 sehingga 2017, yang menilai pasaran semasa aset keseluruhan membabitkan anak syarikat, syarikat bersekutu, syarikat usaha sama dan hartanah TH.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Disember 2018 @ 7:56 PM