ANGGOTA bomba memeriksa lokasi kemalangan di Kilometer 31, Jalan Kudat-Kota Kinabalu, Kampung Kandawayon di Kudat, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Junaidi Ladjana


TIGA individu termasuk seorang wanita parah selepas kereta dinaiki bertembung dengan pacuan empat roda di Kilometer 31, Jalan Kudat-Kota Kinabalu, Kampung Kandawayon, Kudat, hari ini.

Dalam kejadian pada 12.10 tengah hari itu, identiti ketiga-tiga mangsa masih belum dikenal pasti dan dihantar ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut.

Manakala lima orang termasuk dua kanak-kanak di dalam Isuzu D Max hanya cedera ringan.

Difahamkan, kereta Proton Saga Aeroback itu dinaiki tiga mangsa manakala pacuan empat roda terbabit dinaiki lima orang.

Sebaik tiba di lokasi kejadian dipercayai berlaku pertembungan menyebabkan pemandu dan dua penumpang Proton Saga Aeroback parah, sebelum dikejarkan ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan pada 12.16 tengah hari dan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, tiga mangsa yang cedera dihantar menggunakan ambulans ke Hospital Kudat untuk rawatan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Disember 2018 @ 5:42 PM