MUSTAFAR (kanan) melakukan pemeriksaan terhadap wanita warga asing. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


SERAMAI 204 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan di dua lokasi serbuan di Cyberjaya dan Jalan Pudu, Kuala Lumpur, hari ini.

Mereka yang terdiri daripada warga Indonesia, Thailand, China dan Bangladesh ditahan menerusi Operasi Penguatkuasaan Imigresen.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Datuk Seri Mustafar Ali berkata, dalam serbuan pertama di kawasan rumah kongsi di Cyberjaya, pihaknya menahan 183 warga Indonesia serta masing-masing seorang warga asing dari China dan Bangladesh.

“Kami melakukan pemeriksaan terhadap 235 warga asing di kawasan itu. Daripada jumlah itu, 92 daripada mereka lelaki, manakala 93 yang lain adalah wanita termasuk seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan dua hari lalu.

“Kesemua mereka didapati melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan diri, tinggal lebih masa dan permit tamat tempoh,” katanya pada sidang media operasi terbabit.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman.

Mustafar berkata, serbuan kedua dilakukan di sebuah hotel di Jalan Pudu, yang dipercayai terdapat kegiatan pelacuran membabitkan wanita warga asing dari Indonesia dan Thailand.

“Hasil risikan dilakukan, hotel itu didapati menjalankan kegiatan pelacuran yang dipercayai aktif sejak beberapa bulan lalu. Dalam serbuan ini, kami menahan 18 wanita warga Indonesia dan Thailand berusia antara 20 hingga 30 tahun selain seorang lelaki Bangladesh yang bekerja sebagai penjaga di premis berkenaan.

“Malah, hotel ini pernah diserbu beberapa kali sebelum ini kerana didapati melakukan kegiatan pelacuran. Kami turut merampas beberapa barangan yang ditemui di hotel ini termasuk kondom dan sebilah parang,” katanya.

Katanya, mereka yang ditahan dibawa ke depoh tahanan Imigresen di Bukit Jalil, untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 10:26 AM