GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


HELAH dua lelaki menyamar sebagai anggota polis menyamun seorang lelaki bersama anak saudaranya di sebuah hotel, di Taman Seroja, di Kulim, mengundang padah apabila ditahan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB), kelmarin.

Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa berusia 30-an bersama anak saudara berusia 10 tahun yang berada di dalam bilik hotel didatangi suspek berusia 24 dan 27 tahun memperkenalkan diri sebagai polis dan meminta MyKad untuk pemeriksaan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, selepas memeriksa MyKad mangsa, suspek kemudian beredar membuat pemeriksaan di bilik lain.

Menurutnya, bagaimanapun 10 minit kemudian pintu bilik mangsa sekali lagi diketuk dan sebaik dia membuka pintu, suspek terus menyimbah air arak ke arah anak saudaranya dan mengacu pisau.

“Malah, suspek turut mengarahkan mangsa menyerahkan barangan berharga menyebabkan dia yang ketakutan hanya menuruti dan menyerahkan dompet, beg silang dan telefon bimbit.

“Tidak cukup dengan itu, suspek turut mengarahkan mangsa membuka bajunya, manakala anak saudaranya pula diarahkan memeriksa poket seluar mangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ahmad Nasir berkata, selepas itu suspek berpura-pura menghubungi rakan polis, namun belum sempat mereka melarikan diri anggota URB Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim yang sedang bertugas tiba di tempat kejadian selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu.

"Suspek kemudian ditahan dan dibawa ke IPD Kulim untuk tindakan selanjutnya mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 12:06 PM