Irwan Shafrizan Ismail


KUOTA haji jemaah Malaysia untuk musim haji tahun depan kekal sebanyak 30,200 orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, namun pihaknya sudah mengemukakan permohonan kepada kerajaan Arab Saudi supaya kuota haji itu ditambah.

Beliau berkata, ia berikutan jumlah penduduk Malaysia kini meningkat sebanyak 31 juta.

“Perkara itu saya maklumkan dalam kepada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi sewaktu dalam Mesyuarat Tahunan Menteri-Menteri Haji yang berlangsung di Jeddah, semalam.

“Sekiranya jumlah pertambahan penduduk Malaysia itu diambil kira, kita sepatutnya mendapat kuota 31,200 jemaah.

“Jumlah kuota itu ditentukan berdasarkan 0.1 peratus jumlah penduduk sesebuah negara mengikut ketetapan yang diletakkan oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) sejak 10 tahun lalu,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang, hari ini.

Pada masa sama, Mujahid berkata, kelancaran Program Pra Pelepasan Haji yang dilaksanakan di Malaysia tahun ini akan diambil kira kerajaan Arab Saudi untuk meneruskan inisiatif itu pada musim haji 2019.

Beliau turut memaklumkan, kos menunaikan haji kekal pada sebelum ini iaitu RM9,980.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 1:19 PM
GAMBAR hiasan