MOHAMAD. FOTO Arkib NSTP
Fairul Asmaini Mohd Pilus


TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan pertemuan beliau dan lima pemimpin lagi UMNO dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Oktober lalu, ada kaitan dengan tindakan mereka untuk keluar parti atau memohon ‘talian hayat’ seperti yang ditularkan di media sosial

Sebaliknya, kata Mohamad, ia adalah pertemuan bagi membincangkan saranan Dr Mahathir yang sebelum itu mahukan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membubarkan parti berkenaan

“Memang betul saya dan beberapa pemimpin UMNO ada bertemu dengan Tun (Dr Mahathir) selepas beliau pulang dari Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-73 di New York.

“Pertemuan itu bagaimanapun hanya untuk membincangkan mengenai saranan beliau yang mahu UMNO dibubarkan dan bukannya menyentuh mengenai soal lompat parti atau isu lain seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Ramai orang sekarang yang suka mengadu domba, menyebarkan yang bukan-bukan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau mengulas mengenai penularan gambar perjumpaan dan makan malam enam pemimpin UMNO bersama Dr Mahathir di media sosial, hari ini.

Dalam foto yang tersebar itu menunjukkan Mohamad bersama Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Datuk Seri Hamzah Zainuddin , Datuk Seri Shahidan Kassim serta seorang lagi pemimpin UMNO mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir,

Menurut Mohamad lagi, perjumpaan itu diadakan dalam suasana yang mesra.

“Tun menerima kunjungan kami kerana saya pernah bekerja di bawahnya. Dalam pertemuan itu, kami ada kata kepada Tun supaya tidak membubarkan UMNO, itu sahaja dan bukan berbincang mengenai keluar parti,” katanya.

Penularan gambar itu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan pengguna media sosial hingga ada yang menganggap semua pemimpin terbabit mahu lompat parti dan meminta pertolongan dari Dr Mahathir.

Gambar berkenaan turut menarik perhatian orang ramai termasuk bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menghantar ciapan di laman Twitter beliau dengan keterangan ‘Pertemuan Sekret’ (Pertemuan Rahsia).

Penasihat Khas Media dan Komunikasi Kepada Perdana Menteri yang juga Ahli Majlis Tertinggi (Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk A Kadir Jasin mengesahkan gambar yang ditularkan di media sosial itu adalah tulen dan bukannya disunting.

Bagaimanapun usaha NSTP untuk mendapatkan komen lanjut daripada Adnan gagal apabila beliau ketika dihubungi, hanya menjawab ‘no comment’, manakala Noh pula berada di Tanah Suci Makkah.

Sementara, Hamzah dan Shahidan tidak menjawab panggilan telefon.

Berita berkaitan

Jangan kutip pemimpin 'katak'...

Tuduhan terhadap Hishammuddin tidak berasas

[UPDATE] UMNO Sabah tidak dibubar

[UPDATE] Mahu tempoh bertenang...

'Ini bukan keputusan peribadi...' - Azizah

UMNO Sabah 'berkubur'...? [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 4:04 PM