TIMBALAN Pengarah Kanan Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, DBKL, Hasliza Abdul Hamid (tiga dari kanan) bersama barisan penaja melepaskan spesies patin untuk kaki pancing Ahad ini. FOTO Ihsan DBKL
Wartawan NSTP

HADIAH wang tunai berjumlah RM28,000 dan dua motosikal menanti peserta Jelajah Pancing Kuala Lumpur (JPKL) di Taman Tasik Ampang Hilir, di Kuala Lumpur, Ahad ini.

Selain itu, tiga unit televisyen, 40 cabutan bertuah dan 900 baju T turut menanti pemancing pada pertandingan anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi tahun ketujuh siri 10/2018.

Pengarah Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan, DBKL, Mohd Nazam Harun berkata, kira-kira 1,500 pemancing dijangka menyertai sirkit terakhir JPKL tahun ini selepas sembilan lokasi siri jelajah.

Katanya, bertepatan dengan slogan bertemakan ‘Jom Pancing Rakyat Ceria Komuniti Sejahtera’, warga kota diharap dapat menjadikan pertandingan sebagai antara aktiviti riadah bersama keluarga.

“Saya berpuas hati dengan penganjuran yang masuk tahun ketujuh ini kerana ia menghimpunkan pelbagai bangsa, usia dan pembabitan keluarga yang menjadi penyokong setia.

“Acara ini akan mengisi kalendar tahunan DBKL dan saya harap program ini dapat diteruskan selepas ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Nazam berkata, pertandingan memancing itu juga bertujuan memperkenalkan taman tasik rekreasi untuk dimanfaatkan oleh warga kota dengan aktiviti sihat.

“Banyak aktiviti sihat boleh dijalankan di taman rekreasi dan pertandingan memancing adalah antara satu yang boleh dilaksanakan,” katanya.

Juara pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM10,000, naib juara RM3,000 manakala pemenang tempat ketiga, RM1,000.

Pemenang keempat RM400 manakala kelima hingga ke-10 akan menerima RM200 dan pemenang tempat ke-11 hingga ke-120, masing-masing menerima RM100.

“Hadiah wang tunai turut disediakan dalam kategori khas ikan keli terberat dan juara menerima hadiah RM400, naib juara RM300, ketiga RM200 dan keempat RM100. Paling menarik hadiah sapu bersih,” katanya.

Yuran pertandingan ialah RM50 untuk sebatang joran dan sebanyak 1,000 botol air Oyoshi akan diberikan percuma kepada peserta terawal daftar.

Pendaftaran boleh dilakukan di meja urus setia pertandingan di Khemah Urusetia, Tasik Ampang Hilir, pada 15 Disember ini bermula jam 12 tengah hari hingga jam 10 malam dan hari pertandingan sebelum jam 6.30 pagi.

Oyoshi dan Igloo turut memeriahkan acara ini sebagai rakan strategik bersama.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman Facebook jorankl atau menghubungi urus setia di talian 013-3052811, 013-2667011 dan 012-2846811.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 6:57 PM