Muhammad Yusri Muzamir
yusri.muzamir@bh.com.my


PENDEDAHAN berhubung salah tadbir dalam Lembaga Tabung Haji (TH) ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) dikatakan mampu mengembalikan keyakinan pendeposit terhadap pengurusan simpanannya yang baharu.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Muhammad Faiz Fadzil mendakwa, pendedahan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa itu juga berjaya memberi beberapa perkembangan baharu terhadap TH, baru-baru ini.

Justeru, katanya, siasatan menyeluruh perlu dilakukan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah kolar putih, termasuk pecah amanah dan rasuah.

“Dua laporan polis telah dibuat oleh Lembaga Pengarah baharu TH terhadap bekas Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah, serta empat ahli pengurusan tertingginya, baru-baru ini.

“Malah, imej TH juga tercemar dan integriti pengurusannya sebelum ini menjadi persoalan apabila Laporan Ketua Audit Negara terbaru menyatakan TH gagal merekodkan rosot nilai bernilai RM227.81 juta terhadap pelaburan dalam tiga syarikat subsidiari dan tiga syarikat bersekutu untuk TK2017.

“Ini jelas bertentangan dengan piawaian Laporan Kewangan Malaysia. Mereka juga tidak konsisten dalam melaksanakan polisi rosot nilai dalam proses perakaunan mereka,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Isnin lalu, akaun pada 2017 yang dibentangkan di Dewan Rakyat menunjukkan jumlah aset keseluruhannya bernilai RM70.3 bilion, dengan jumlah liabiliti sebanyak RM74.4 bilion, selain defisit sebanyak RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.

Muhammad Faiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, turut menyelar Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki susulan kenyataan Ketua Pemuda UMNO yang membidas pendedahan berhubung TH itu.

“Asyraf gagal memahami pentingnya pentadbiran negara berasaskan prinsip ketelusan. Skandal ini membabitkan salah tadbir urus berskala besar dan telah disembunyikan oleh pentadbiran terdahulu.

“Amat mengecewakan apabila terdapat segelintir pemimpin agama di negara ini yang memandang rendah pendedahan kewangan TH, sedangkan ia dibuat berdasarkan fakta kredibel dan konkrit,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, Pemuda AMANAH berharap pengurusan baharu TH akan memartabatkan nilai tadbir urus korporat yang baik untuk menjana kembali keyakinan 9.3 juta pendeposit dan rakyat Malaysia secara menyeluruh.

“Pemuda AMANAH juga menyokong keputusan kerajaan untuk meletakkan TH di bawah seliaan Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memulihkan kewangan institusi Islam ini.

“Ia memandangkan BNM mempunyai regulasi dan autoriti yang lebih ketat mengawal tadbir urus korporat badan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 8:56 PM