ERVINA tidak dapat menahan sebak selepas mendapat keputusan PT3. FOTO Khairunisah Lokman
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


“PERASAAN ketika ini bercampur, ada gembira, teruja dan sedih kerana tidak percaya akan memperoleh keputusan sebaik ini,” luah calon Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Ervina Harun.

Ervina, 15, berkata, walaupun dia tidak tergolong dalam pelajar cemerlang namun keputusan 2A yang diperoleh itu amat berharga buat dirinya.

Arvina yang bercita-cita menjadi pereka fesyen berkata, keputusan itu akan menjadi permulaan buat dirinya untuk belajar bersungguh-sungguh pada masa akan datang sekali gus melayakkannya untuk melangkah ke universiti.

“Mungkin dengan ini akan menjadi pendorong buat saya dan menjadi satu-satunya anak buat ibu dan ayah yang dapat ke universiti kelak,” katanya sebak.

Sementara itu, sepupu Ervina, yang juga pelajar Orang Asli, Alqiemi Agos, 15, berkata, pada awalnya dia tidak menyimpan hasrat menjadi antara tujuh pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang kerana hanya mensasarkan untuk lulus kesemua sembilan subjek didudukinya.

“Walaupun masih tidak percaya dengan keputusan yang diperoleh namun saya amat bersyukur kerana usaha membuahkan kejayaan,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Bekoh, Jasin itu yang memperoleh keputusan 5A.

“Ketika cikgu mengumumkan nama untuk naik ke pentas sebagai pelajar cemerlang, saya amat terkejut kerana tidak menyangka saya mampu lakukan.

“Walaupun ada kalanya terasa malas dan kepenatan untuk menelaah pelajaran kerana letih menolong ayah di kebun pada waktu petang, namun saya kuatkan semangat,” katanya, ketika ditemui di sekolahnya sebaik keputusan PT3 diumumkan hari ini.


ALIAS Mahpol (kanan) melihat keputusan peperiksaan PT3 Alqiemi (kiri) di SMK Simpang Bekoh. FOTO Khairunisah Lokman

Anak sulung daripada enam beradik itu berkata, tiada rahsia diamalnya melainkan usaha disusuli usaha mendekatkan diri dengan memohon pertolongan daripada tuhan.

Sementara itu, Pengetua SMK Simpang Bekoh Alias Mahpol @Mohamad berkata, daripada 101 calon PT3 yang menduduki peperiksaan 18 daripadanya mencatatkan keputusan lulus semua subjek diduduki.

Beliau berkata, berbanding keputusan tahun lalu, PT3 kali ini mencatatkan peningkatan keputusan sebanyak 0.88 peratus berbanding tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 9:09 PM