Wartawan NSTP

JAWATANKUASA Pusat MCA akan menghantar satu surat rasmi kepada Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) dalam masa terdekat, untuk mendesak parti komponen itu dibubarkan.

Jawatankuasa itu dalam satu kenyataan berkata, mereka secara sebulat suara memutuskan untuk mengesahkan resolusi yang diluluskan semasa Perhimpunan Agung MCA awal bulan ini.

Media sebelum ini melaporkan perwakilan MCA memutuskan supaya BN dibubarkan selepas melihat senario politik semasa di negara ini.

Dengan pembubaran itu, MCA berharap ia menjadi langkah pertama bagi parti itu untuk mendapatkan semula sokongan dalam arena politik negara dengan menjadi instrumen semak dan imbang kepada kerajaan hari ini.

“Keputusan yang menghasilkan resolusi supaya BN dibubarkan dibuat selepas mengambil kira senario politik semasa di negara ini, serta pandangan golongan muda dan veteran.

“Pembentangan dan kelulusan resolusi itu adalah langkah pertama bagi MCA untuk mendapatkan semula sokongan untuk kembali dalam arena politik negara, dengan melaksanakan semak dan imbang bagi memastikan kerajaan kekal cekap, telus dan bebas rasuah,” kata kenyataan itu.

Sejak resolusi pembubaran BN diluluskan, MCA menerima kritikan hebat, khususnya daripada UMNO.

Pihak yang membantah resolusi itu dengan jelas menyatakan bahawa MCA sewajarnya keluar daripada BN, berbanding terus kekal bersama gabungan itu dan menggesa ia dibubarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 9:23 PM