PENDUDUK membawa barang keperluan selepas Kampung Cherating dinaiki air berikutan hujan lebat. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Amin Ridzuan Ishak

SERAMAI 194 orang daripada 54 keluarga dipindahkan ke empat Pusat Pemindahan Sementara di daerah Kuantan selepas kediaman mereka terjejas akibat banjir, hari ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Zainal Yusoff berkata, empat PPS yang sudah dibuka sehingga 8 malam tadi adalah di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating, SK Sungai Ular, SK Sungai Karang dan SK Kempadang.

"Jumlah mangsa banjir paling ramai dipindahkan ke PPS adalah di SK Cherating dengan 92 orang diikuti SK Kempadang (53 orang), SK Sungai Karang (34 orang) dan SK Sungai Ular (15 orang)," katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.

Banjir melanda beberapa perkampungan di daerah ini selepas hujan berterusan berikutan musim tengkujuh sejak malam semalam.

Zainal berkata, pihaknya akan memantau keadaan semasa berikutan hujan berterusan dan meminta orang ramai mengikuti nasihat diberikan pihak berkuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 9:59 PM