Nurul Fhatihah Zakinan


BAYI lelaki berusia satu tahun dua bulan maut dipercayai akibat lemas selepas terlangkup ke dalam baldi di bilik air di rumahnya, Jalan Pangkalan Lambak, Sungai Rambai, Jasin, dekat Melaka, tengah hari, tadi.

Mangsa, Muhammad Arash Zahrain Osman, ditemui ibunya berusia 30-an, tidak sedarkan diri dengan kedua-dua belah kaki ke atas dan kepala di dalam baldi mengandungi air.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, ibu dan ayah kanak-kanak terbabit sedang makan tengah hari di belakang rumah manakala tiga abang mangsa di bilik tidur.

"Ibu mangsa memaklumkan, terdengar bunyi air di tandas dan bergegas ke tempat kejadian sebelum mendapati mangsa dalam keadaan terlangkup di dalam baldi yang mengandungi air.

"Ibunya mendapati mangsa kaku tidak bersuara lalu mendapatkan suami. Sebelum kejadian, ibunya mengesahkan tiada air dalam baldi selepas membersihkan abang mangsa berumur dua tahun," katanya.

Arshad berkata, mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Sungai Rambai pada jam 1.30 petang bagi mendapatkan bantuan pernafasan sebelum disahkan mati oleh pengadu yang juga pegawai perubatan klinik berkenaan.

"Setakat ini, tiada sebarang kecederaan luaran di badan mangsa yang hanya berpakaian lampin pakai buang selain tiada sebarang unsur perbuatan jenayah terhadap mangsa namun siasatan akan diteruskan," katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Fatimah, Muar untuk bedah siasat dan siasatan awal kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 10:23 PM