Warga emas parah pada lengan kanan terkena tembakan yang dilepaskan rakannya dalam kejadian di kebun durian di Kampung Sedengka Ayer Mati, Padang Changkat, Bota Kanan. FOTO Ihsan PDRM
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my

LELAKI warga emas parah pada lengan kanan dipercayai terkena tembakan yang dilepaskan rakannya di kebun durian di Kampung Sedengka Ayer Mati, Padang Changkat, Bota Kanan, di Bota, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, Ramli Mat Jesam, 60, yang bekerja kampung dikatakan datang ke kebun itu bersama rakannya yang juga pemilik kebun dan seorang lagi rakan mereka untuk kerja pembersihan dan menebang pokok.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, pemilik kebun yang berusia 80 tahun itu mengupah mangsa dan seorang lagi rakan untuk membersihkan semak di kebun miliknya.

Menurutnya, ketika di kebun, pemilik kemudian meninjau ke bahagian kebunnya yang lain berikutan terdengar bunyi bising dan mengambil senapang patah dari kereta sebelum berjalan di sekeliling kebunnya.

“Ketika berjalan keliling kebun pengadu ternampak pokok pisang bergoyang kuat dan menjerit “woi!” dua kali untuk menghalau yang disangkakan babi tetapi tidak menjawab.

“Pemilik kebun kemudian melepaskan satu das tembakan ke arah pokok pisang itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Zainal berkata, mangsa yang terkena tembakan menjerit meminta tolong sebelum lelaki terbabit dan seorang lagi rakan mereka bergegas ke arah pokok pisang itu dan mendapati mangsa yang terkena tembakan berkenaan.

“Pemilik kebun mendapati mangsa berdarah di bahagian lengan kanannya dan terus menghantar rakannya itu Hospital Changkat Melintang dengan kereta untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya.

Beliau berkata, pengadu mendakwa melepaskan tembakan kerana menyangka benda yang bergerak itu adalah babi berikutan tiada maklum balas yang diterima ketika dia menjerit untuk menghalaunya.

“Pengadu mendakwa tidak menyangka rakannya yang berada di bahagian belakang kebun itu kerana ketika dia meninggalkan mereka sedang membersihkan kawasan hadapan kebun.

“Ketika kejadian berlaku hanya mereka bertiga sahaja yang berada di tempat kejadian dan siasatan di tempat kejadian menjumpai satu kelongsong peluru penabur,” katanya.

Mohamad Zainal berkata, doktor memaklumkan pergelangan tangan kanan dan jari mangsa tidak boleh bergerak selain terdapat banyak lubang besar dan kecil pada lengan tangan kanan lelaki itu.

Katanya, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 manakala pengadu yang juga pemilik kebun dibebaskan dengan jaminan polis berikutan faktor usianya yang sudah lanjut.

Beliau berkata, polis turut merampas selaras senapang patah jenis shotgun 12 bore, 45 butir peluru penabur warna hijau pelbagai jenama, satu kelongsong peluru penabur, buku lesen memiliki senjata dan peluru serta sekeping kad senjata api.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Disember 2018 @ 10:34 PM