Murni Wan Omar


BEKAS Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3 juta membabitkan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching Sarawak oleh FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Mohd Isa membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan hadapan Hakim Azura Alwi.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Isa didakwa sebagai Pengarah Syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd melakukan pecah amanah ke atas dana syarikat itu dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Anggota Lembaga Pengarah FELDA.

Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Anggota Lembaga Pengarah FELDA Bilangan 303 bertarikh 25 Jun 2013 yang dibuat berkenaan pelaksanaan amanah itu di mana Anggota Lembaga Pengarah FELDAmemberi mandat kepada Anggota Lembaga Pengarah Syarikat FIC Sdn Bhd dalam membuat keputusan pelaburan membabitkan projek bernilai RM100 juta ke bawah.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Tingkat 60 Menara Felda, Platinum Park, No 11 Persiaran KLCC di Kuala Lumpur, pada 29 April 2014.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebat dan denda.

Bagi pertuduhan kedua hingga ke-10, Mohd Isa didakwa secara rasuah menerima suatu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai berjumlah RM3,090,000.00 daripada Ikhwan Zaidel iaitu ahli lembaga pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd.

Ia dibuat melalui Muhammad Zahid Md Arip sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suit di Kuching Sarawak oleh pihak Syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd yang bernilai RM160 juta.

Mohd Isa didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di Tingkat 49 Menara FELDA Platinum Park, No11 Persiaran KLCC di Kuala Lumpur, antara 21 Julai 2014 dan 11 Disember 2015.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang.

Tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Umar Saifuddin Jaafar manakala Isa diwakili peguam Datuk K. Kumaraendran dan Ridha Abdah Subri.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM800,000 dengan seorang penjamin.

Pasport juga perlu diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 25 Januari depan untuk sebutan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 10:32 AM
ISA ketika hadir di mahkamah. FOTO Asyraf Hamzah