ANGGOTA Unit Anjing Pengesan (K9) membuat pemeriksaan di lokasi kejadian. FOTO ihsan pembaca
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


SERAMAI 120 pesakit dan 50 kakitangan Hospital Tampin, cemas apabila mereka menerima panggilan bom palsu daripada lelaki yang tidak dikenali, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, pada kejadian 5.50 pagi itu, operator khidmat pelanggan hospital yang menerima panggilan telefon dimaklumkan terdapat bom di hospital itu.

Katanya, dalam perbualan suspek menyatakan "pandang serius apa yang saya nak cakap ni, Hospital Tampin dah ada bom" lalu panggilan dimatikan.

"Bimbang dengan panggilan itu, operator berkenaan memberitahu ketua jururawat dan pengarah hospital seterusnya menghubungi polis dan bomba pada 6.55 pagi," katanya kepada NSTP, hari ini.

Ramli berkata, anggotanya dikerahkan ke lokasi bersama Unit Pengesanan Bom dan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dengan dibantu pihak bomba.

Beliau yang turut membuat pemeriksaan mengarahkan laluan keluar dan masuk hospital ditutup dan bersiap sedia dengan kemungkinan berlaku.

"Pemeriksaan dilakukan di bahagian dalam dan luar hospital tidak menjumpai sebarang bom atau apa-apa yang mencurigakan. Pihak polis menamatkan operasi 9.50 pagi dan kejadian ini sekadar panggilan bom palsu," katanya.

Menurut Ramli, pemindahan pesakit tidak dilakukan selepas penilaian awal dilakukan mendapati tiada bom di hospital berkenaan.

"Hospital ini turut memiliki banyak laluan keluar dan masuk jika apa-apa terjadi. Buat masa ini siasatan lanjut masih dijalankan bagi memburu suspek mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya sudah merakam percakapan saksi terbabit dan mengesan panggilan telefon daripada pihak Telekom Malaysia (TM) Seremban.

Sementara itu Pengarah bomba negeri, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.50 pagi dan mengerahkan sembilan anggota, sebuah jentera dan sebuah ambulans bagi membantu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 1:05 PM