MUJAHID. FOTO Arkib NSTP
MUJAHID. FOTO Arkib NSTP
Mohd Hafizee Mohd Arop dan Zahratulhayat Mat Arif


MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menafikan dakwaan yang tular di media sosial bahawa pihaknya menyekat penceramah tertentu untuk muncul di televisyen dan radio.

Sejak semalam, tular senarai 10 penceramah didakwa tidak digalakkan berceramah di televisyen dan radio mulai Januari tahun hadapan.

Antara yang tersenarai adalah Ustaz Ahmad Dasuki, Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias dan Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Mujahid berkata, pihaknya tidak menyekat mana-mana penceramah tetapi hanya menasihatkan penceramah atau pendakwah yang hendak muncul di televisyen dan radio supaya memahami tiga teras iaitu Rahmatanlil a'lamin, Maqasid Syariah dan modul Malaysia.

“Maknanya dalam apa juga yang mereka sampaikan selagi tak bercanggah dengan tiga perkara ini maka kita alu-alukan, kita bukan hanya nak sekat orang kerana kita tidak suka pada dia tetapi lebih kepada kita melihat ‘content’ (kandungan).

“Tetapi setakat soalan tentang ‘list’ (senarai) secara rasmi disebut orang-orang begini, jangan diberi ruang, setahu saya daripada pejabat saya tidak ada, kalau dia viral untuk timbul keraguan atau provokasi, saya tidak tahu,” katanya.

Beliau ditemui selepas Pidato Presiden pada Konvensyen Parti Amanah Negara (AMANAH) 2018 di Hotel Casuarina @ Meru di Ipoh, hari ini.

Mujahid turut menegaskan bahawa pihaknya tidak pernah mengganggu periuk nasi mana-mana penceramah yang ingin menyampaikan ilmu dan menasihatkan supaya mereka tidak menjaja agama untuk mencari rezeki.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 2:15 PM