GAMBAR hiasan. Sungai Golok. FOTO arkib NSTP
Mohd Zulkifli Zainuddin


PARAS air Sungai Golok di Rantau Panjang melepasi paras amaran, hari ini berikutan cuaca tidak menentu sejak beberapa hari lalu di negeri ini.

Berdasarkan portal publicinfobanjir.water.gov.my sehingga 12 tengah hari tadi, paras Sungai Golok di Rantau Panjang meningkat kepada 8.62 meter (m) melebihi paras amaran 8 m, berbanding 7.8 m, semalam.

Paras Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Kusial serta Sungai Lebir di Tualang turut berada di paras berjaga-jaga.

Sungai Kelantan di Kuala Krai dan Kusial masing-masing mencatat 21.52 m dan 12.56 m, manakala Sungai Lebir di Tualang berada di paras 28.74 m.

Setakat ini tiada mangsa dilaporkan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Sebanyak 607 PPS yang mampu menempatkan 198,000 mangsa banjir akan dibuka di seluruh Kelantan terutama Kota Bharu, Kuala Krai dan Pasir Mas sebagai persediaan jikan bencana itu berlaku.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), semalam mengelarkan amaran cuaca buruk apabila hujan lebat dijangka berterusan di Terengganu (Kemaman) dan Pahang (Kuantan) sehingga hari ini.

Amaran cuaca waspada turut dikeluarkan apabila hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang (Jerantut, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin) bermula Sabtu hingga Isnin ini.

Hujan lebat pula dijangka berlaku di negeri Terengganu (Dungun), Pahang (Jerantut dan Maran), serta Johor (Mersing dan Kota Tinggi) sehingga hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Disember 2018 @ 3:25 PM