ANGGOTA Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berjaya menahan lima suspek penagih dadah dalam operasi bersepadu di jalan utama Bukit Garam, Kinabatangan-Lahad Datu. FOTO Ihsan AADK
Poliana Ronnie Sidom


PURA-PURA muntah dan mengadu mengalami gastrik untuk mengelak melalui pemeriksaan ujian air kencing.

Itu antara alasan diberikan suspek ketika cuba diperiksa pegawai Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi bersepadu di jalan utama Bukit Garam, Kinabatangan - Lahad Datu, di Sandakan, semalam.

Tidak cukup alasan itu, suspek berusia 26 tahun itu juga cuba melarikan diri apabila mahu digari selepas ujian menunjukkan lelaki terbabit positif dadah jenis syabu.

Bagaimanapun, tindakan suspek sia-sia selepas berjaya ditahan dalam operasi yang membabitkan seramai 28 anggota AADK, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen.

Ketua Pegawai AADK Daerah Sandakan, Aisyah Abdul Karim berkata, seramai lima lelaki berusia 19 hingga 40 tahun ditahan dalam operasi berkenaan.

“Daripada 13 yang diperiksa, cuma lima ditahan kerana didapati positif dadah.

“Semua suspek ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah, Rawatan dan Pemulihan 1983,” katanya ketika dihubungi di Sandakan, hari ini.

Aisyah berkata, dalam kes berasingan, seorang lagi lelaki ditahan di Batu 7, di sini, selepas didapati turut positif dadah dalam Ops Cegah yang dijalankan di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 10:12 AM