KEADAAN rumah yang didiami Wati bersama tiga anaknya berhampiran sungai di Rengit, Batu Pahat. Foto MARY VICTORIA DASS
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


“BIARPUN hanya menunggu masa untuk bersalin, namun saya masih tidak melakukan sebarang persiapan bagi menyambut bayi berikutan hidup serba kekurangan termasuk kerap terputus bekalan makanan,” kata suri rumah dikenali sebagai, Wati, 35.

Wati dan tiga anaknya berusia enam hingga 13 tahun yang tinggal di rumah usang berhampiran sungai di Rengit, Batu Pahat menerima kunjungan daripada wakil badan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Badan Amal Permata Takzim, hari ini.

Berkongsi berkaitan kisah kehidupannya, Wati yang juga Orang Asli berkata, dia dan anak-anaknya hidup susah sejak sebulan lalu apabila suaminya ditahan polis.

Katanya, suaminya adalah nelayan dan sebelum ini juga pernah melakukan kerja kampung bagi menyara kehidupan keluarga.

“Kesemua anak saya iaitu seorang perempuan selain dua anak lelaki tetap bersekolah sebelum ini walaupun kami hidup susah. Mulai Jun lalu, anak-anak saya menerima bantuan persekolahan RM100 setiap seorang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan ia membantu meringankan beban kami.

“Bagaimanapun, saya khuatir mereka tidak mampu meneruskan persekolahan pada tahun depan berikutan keadaan kewangan keluarga semakin buruk dan tambahan pula kami hilang punca pendapatan,” katanya.

Wati berkata, dia tidak mampu membeli kelengkapan sekolah berikutan masalah kewangan dialami, selain pada masa sama tidak mengetahui nasib suaminya.

“Saya buntu memikirkan suami, anak selain bayi yang bakal dilahirkan. Kini saya bergantung sepenuhnya kepada ihsan kenalan termasuk sumbangan barangan dapur bagi mengisi perut anak-anak.

“Saya bersyukur kerana anak-anak memahami keadaan keluarga dan biarpun hampir setiap hari memakan nasi dan telur goreng, namun mereka tidak pernah mengeluh,” katanya.

Wati berkata, dia dan anak-anak juga menjalani kehidupan dalam mimpi ngeri berikutan menghuni di rumah usang di kawasan setinggan itu.

“Selain kebocoran pada bumbung, hampir 50 peratus ruangan di dalam rumah ini dinaiki air terutama ketika air pasang. Keadaan struktur rumah juga tidak kukuh, namun kami hanya reda kerana tiada pilihan tempat tinggal lain dan tidak mampu menyewa di luar.

“Saya tidak sanggup meminta bantuan daripada ibu saya kerana dia juga bukan orang senang dan hanya berniaga secara kecil-kecilan bagi menampung kehidupan.

“Saya berdoa supaya Allah memberi sinar baru kepada keluarga kami dan anak-anak memiliki masa depan lebih cerah,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Wati boleh menghubungi talian 017-7575354.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Disember 2018 @ 7:32 PM