Jenazah Mohd Hafiz disembahyangkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Simpang Pulai. (Gambar kecil) Nor Azman. FOTO Abdullah Yusof
Jenazah Mohd Hafiz disembahyangkan di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Simpang Pulai. (Gambar kecil) Nor Azman. FOTO Abdullah Yusof
Shaarani Ismail

“DIA simpan semua duit kemenangan dan berhajat nak membawa saya, mak dan kakaknya menunaikan umrah, saya cakap kat dia biarlah dia pergi dulu, ada rezeki saya pergi kemudian, tetapi dia tetap nak bawa saya dan maknya juga. Itu yang saya terkilan sangat,” kata Nor Azman Mad Darus, 54.

Nor Azman berkata, Allahyarham anaknya Mohd Hafiz, 22, adalah seorang yang sangat baik terhadap kedua-dua ibu bapa dan sudah mula menyertai perlumbaan Cub Prix sejak 2010 serta merancang membawa keluarga menunaikan umrah pada Januari depan.

Katanya, sejak mula berlumba hinggalah kepada insiden yang berlaku semalam, dia dan isterinya, Rohana Hamzah, 52, sentiasa menemani dan memberikan sokongan kepadanya.

“Hafiz sangat rapat dengan maknya, bahkan pada malam sebelum perlumbaan dia tidur bersama maknya.

“Sehingga hari ini maknya masih lagi bersedih dengan insiden yang menimpa Hafiz,” katanya yang ditemui di kediamannya di Kampung Serdang Permai, Simpang Pulai di Ipoh hari ini.

Allahyarham Hafiz, meninggal dunia selepas terbabit kemalangan ketika pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 di Dataran Bandar Penawar, Johor kira-kira jam 4 petang semalam.

Nor Azman berkata, pihaknya menyerahkan segala siasatan berhubung insiden itu kepada pihak penganjur untuk melihat bagaimana perkembangannya.

“Adakah litar itu selamat atau tidak? Harap pihak lain turut lihat perkara sama takut benda (insiden) ini berulang lagi.

“Harap pihak yang berkenaan juga tolong tengok dan lihat bila ada perlumbaan terutama membabitkan ciri-ciri keselamatan, kerana semalam saya lihat kurang sikit,” katanya.

Ditanya bagaimana keadaan anaknya selepas insiden itu, Nor Azman berkata tidak dapat melihat dengan dekat keadaan Hafiz tetapi dimaklumkan keadaannya adalah kritikal sejurus selepas kemalangan berlaku.

Jenazah Hafiz akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Serdang Permai selepas disembahyangkan di Masjid Saidina Umar Al Khattab, kampung berkenaan sebelum solat Zohor hari ini.

Berita berkaitan:

  • Pelumba Cub Prix maut [METROTV]
  • .

  • [UPDATE] AAM tubuh jawatankuasa siasatan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 12:21 PM