Mohd Azam Shah Yaacob


LIMA individu termasuk seorang wanita yang terbabit dalam insiden pergaduhan menyebabkan kematian pengurus pusat hiburan direman tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Petaling Jaya selepas lima suspek masing-masing berusia antara 20 tahun hingga 30 tahun dibawa ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

“Lima individu ini ditahan di luar daerah Petaling Jaya sekitar petang semalam dan awal pagi tadi bagi membantu siasatan kes terbabit mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Keseluruhan tangkapan suspek sehingga hari ini adalah seramai lapan orang, termasuk tiga lelaki yang ditahan pada hari insiden pergaduhan, semalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, NSTP melaporkan seorang pengurus pusat hiburan berusia 28 tahun maut selepas diserang beberapa lelaki bersenjata parang ketika sedang berdiri di luar pub berkenaan bersama beberapa lelaki lain.

Mangsa yang menetap di Jalan Gasing Indah, Petaling Jaya, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan pada 7.40 pagi.

Susulan kejadian itu, polis menahan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 31 tahun untuk membantu siasatan dan merampas empat buah kereta.

Berita berkaitan

Pengurus pusat hiburan maut ditetak

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 5:39 PM