Hassan (kanan) antara yang dipertikaikan pelantikannya sebagai Pengerusi PKR negeri kerana dikatakan tidak mendapat sokongan majoriti ketua cabang.
Hassan (kanan) antara yang dipertikaikan pelantikannya sebagai Pengerusi PKR negeri kerana dikatakan tidak mendapat sokongan majoriti ketua cabang.
Rizalman Hammim


BEBERAPA jam selepas Nurul Izzah Anwar meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden PKR, giliran Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim pula melepaskan jawatannya sebagai Pengerusi PKR Johor berkuat kuasa hari ini.

Dalam satu surat yang ditujukan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk memegang jawatan terbabit.

“Saya, Hassan Abdul Karim mengucapkan ribuan terima kasih kerana kepercayaan Presiden melantik saya sebagai Pengerusi Keadilan Negeri Johor.

“Namun, saya dengan rasminya menolak perlantikan terbabit berkuatkuasa hari ini,” katanya dalam surat berkenaan yang turut diserahkan kepada NSTP menerusi aplikasi WhatsApp.

Bagaimanapun Hassan akan mengekalkan keahliannya dalam PKR dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, selain akan meneruskan sokongan kepada Pakatan Harapan sebagai kerajaan Parlimen.

“Saya juga akan menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar sebagai Presiden PKR dan bakal Perdana Menteri,” katanya.

Dalam surat itu juga, Hassan percaya PKR perlu meminda perlembagaannya dalam fasal pemilihan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor.

“Pemilihan saya sebagai Pengerusi MPN Johor turut dipertikaikan. Jadi, adalah wajar untuk saya meletakkan jawatan. Pengerusi baharu perlulah dipilih secara lebih demokratis dan telus selaras dengan prinsip perjuangan reformasi PKR,” katanya.

Pelantikan Nurul Izzah dan Hassan dipertikaikan oleh Ahli Jawatankuasa Pusat PKR, Latheefa Koya yang menuduh Anwar mengamalkan kronisme.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 6:26 PM