POLIS meminta bantuan orang ramai mengesan Ragu A/L Anpaznakan, 27, beralamat di Taman Dato Hormat, Teluk Panglima Garang, Banting, Selangor berhubung kes bunuh seorang pengurus pusat hiburan di hadapan sebuah pub di 8th Avenue, Petaling Jaya, semalam. FOTO NSTP
Nor Azizah Mokhtar


POLIS Selangor sedang mengesan seorang ahli Geng 08 Spider Banting bagi membantu siasatan pembunuhan lelaki oleh sekumpulan lelaki bersenjatakan parang dan kayu di hadapan sebuah pusat hiburan di Pusat Perniagaan 8th Avenue, Petaling Jaya, semalam.

Individu terbabit dikenali sebagai A Ragu, 27, beralamat di Taman Dato Hormat, Telok Panglima Garang, Banting, Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, individu berkenaan dipercayai terbabit dengan beberapa kes jenayah kekerasan sebelum ini, namun terlepas.

“Oleh kerana tiada keterangan bagi kes-kes membabitkannya, maka individu terbabit hanya ditahan dan disiasat dibawah prosedur Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk tindakan mengikut Seksyen 130V Kanun Keseksaan.

“Namun terdapat perubahan pertuduhan dan individu itu hanya dituduh mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 pada 16 November lalu dan dijamin sebanyak RM3500.

“Tarikh perbicaraan lanjut ke atasnya adalah pada 8 April 2019,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, katanya orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung individu terbabit diminta berhubung dengan pihak polis atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam kejadian 6.38 pagi itu, mangsa yang juga pengurus pusat hiburan berusia 28 tahun, maut selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang ketika sedang berdiri di hadapan pusat hiburan berkenaan.

Susulan siasatan dijalankan, polis menahan lima suspek termasuk seorang wanita berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Kesemua mereka kini direman tujuh hari sehingga 23 Disember depan untuk membantu siasatan.

Berita berkaitan

Pengurus pusat hiburan maut ditetak

Kes tetak: 5 lagi direman

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 8:11 PM