Mary Victoria Dass


“BUKAN saya sengaja menolak cadangan penempatan sementara ditawarkan sebelum ini, tetapi berasa ia tidak sesuai kerana saya memiliki tiga anak,” kata kata suri rumah dikenali sebagai, Wati, 35.

Wati yang tinggal di rumah usang berhampiran sungai di sebuah perkampungan di Rengit, Batu Pahat berkata, dia menghargai keprihatinan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) ketika mengunjunginya, baru-baru ini.

Menurutnya, JAKOA memberi cadangan supaya tinggal sementara di sebuah sekolah agama berhampiran kediamannya.

“Saya berasakan ia tidak sesuai bagi kami sekeluarga dan lebih baik saya tinggal saja di rumah usang sehingga berpeluang berpindah ke rumah lebih selesa.

“Saya bukan memandang remeh cadangan itu tetapi berasakan tidak sesuai bagi kami tinggal di situ bagi tempoh lama. Tambahan pula sesi persekolahan akan bermula tidak lama lagi,” katanya.

Katanya, dia berharap dapat berpindah ke rumah lebih selesa seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Kalau mahu menyewa di luar, saya memang tidak mampu dan tambahan pula dalam keadaan menunggu masa untuk bersalin, saya tidak dapat bekerja.

“Saya bercadang untuk membantu ibu berniaga selepas bersalin dan mungkin dengan hasil jualan makanan kering seperti keropok dan sebagainya. Saya dapat tampung sewa PPR sekiranya diberi peluang berpindah ke situ,” katanya.

Wati berkata, dia berterima kasih atas sokongan moral orang ramai yang menghubunginya selepas kisahnya disiarkan oleh Harian Metro.

Menurutnya, segelintir individu menyatakan hasrat untuk mengunjungi keluarganya dalam tempoh terdekat.

“Saya amat terharu dan berasa lebih bersemangat untuk menghadapi dugaan Allah ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap JAKOA Johor berkata, pihaknya sudah mengunjungi keluarga ibu mengandung berkenaan, baru-baru ini.

“Kami sudah menawarkan penempatan sementara di sekolah agama sehingga mendapatkan rumah lebih sesuai, namun ditolak wanita berkenaan.

“Bagaimanapun, JAKOA akan terus berusaha bagi membantunya,” katanya ketika dihubungi.

Berita berkaitan

'Syukur, anak-anak memahami...'

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Disember 2018 @ 9:41 PM
Kabinet Malaysia 2020